Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) menawarkan harga baharu untuk model kereta elektrik (EV) pertamanya, QV-E pada RM93,999 untuk pemilikan penuh.

Pilihan pakej pajakan bateri atau Battery as a Service (BAAS) masih ditawarkan pada harga RM69,999 dengan tambahan bayaran bulanan sebanyak RM215 (termasuk cukai) selama sembilan tahun.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, berkata sebagai tanda penghargaan, pihaknya memperkenalkan harga khas untuk pelanggan bermula hari ini sehingga akhir September ini.

Beliau berkata sepanjang tempoh terhad itu, PERODUA menawarkan harga khas sebanyak RM87,499 untuk pemilikan penuh QV-E atau RM63,499 menerusi pakej BAAS dengan bayaran bulanan sebanyak RM215 (termasuk cukai) selama sembilan tahun.

“Kami memperkenalkan harga khas untuk tempoh terhad berkuatkuasa serta-merta bagi membantu pengguna yang berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup,” katanya dalam satu kenyataan.

Zainal Abidin berkata, pakej BAAS menawarkan pakej bateri EV yang komprehensif merangkumi perlindungan untuk bateri, penghapusan dan penggantian serta insurans bateri sepanjang tempoh sewaan sembilan tahun.

“BAAS ditawarkan untuk memberi ketenangan kepada pelanggan dengan menyerahkan kepada PERODUA untuk menguruskan sepenuhnya bateri EV mereka sepanjang tempoh sewaan.

“Bagi mereka yang mahu membeli QV-E secara pemilikan penuh, PERODUA turut menawarkan pembelian bateri apabila sudah sampai masa untuk ia dihapuskan,” katanya.

Sementara itu, bagi pelanggan sedia ada QV-E, mereka akan mendapat pulangan wang khas dan penasihat jualan PERODUA akan menghubungi mereka secepat mungkin.

Beliau berkata, mereka bakal menikmati pengurangan komitmen bulanan BAAS kepada RM215 sebulan daripada RM275 sebelum ini.

Bayaran baharu ini, katanya akan berkuat kuasa untuk tempoh pembayaran seterusnya.

“Kami mengalu-alukan rakyat Malaysia untuk memuat turun super app P-Circle untuk menempah QV-E atau kunjungi bilik pameran berdaftar kami di seluruh negara untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai tawaran ini,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, PERODUA, bersama-sama dengan ekosistem automotifnya, telah melakukan perubahan dalam kandungan tempatan yang membawa kepada kecekapan yang lebih baik terhadap kenderaan bateri elektrik (BEV) pertama keluaran syarikat itu.

“PERODUA dan vendor-vendor tempatan berjaya mengeluarkan komponen alat ganti dalam jumlah yang signifikan, dan ini bermakna kami boleh terus melindungi pekerjaan tempatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi dan bekalan rantaian asing.

“Perkembangan ini penting kerana kami kini boleh menyimpan inventori komponen alat ganti yang lebih besar – terutamanya bahagian badan kenderaan – untuk memastikan pelanggan boleh bergantung kepada alat ganti yang sudah tersedia di peringkat domestik apabila diperlukan,” katanya menambah ia juga telah berjaya meningkatkan pengeluaran kepada lebih 500 unit sebulan.

“Peningkatan dalam kandungan tempatan itu juga membolehkan kami mengoptimumkan operasi, dan kami kini mahu berkongsi manfaat ini dengan pelanggan yang dihargai,” katanya.

PERODUA pertama kali melancarkan QV-E, kereta elektrik pertama buatan Malaysia, pada 1 Disember tahun lalu yang ditawarkan pada harga runcit RM80,000 tidak termasuk insurans dan bateri.

QV-E menggunakan bateri Lithium Iron Phosphate berkapasiti 52.5kW dan menawarkan jarak pemanduan sehingga 445 kilometer (NEDC), bergantung kepada gaya pemanduan, suhu dan keadaan jalan.

Model itu turut dilengkapi ciri keselamatan baharu termasuk Sistem Pengesanan dan Amaran Kanak-kanak yang mampu mengesan pergerakan atau tanda vital seperti bunyi nafas, walaupun objek dilitupi fabrik.

Sumber: Berita Harian

Dapatkan informasi hiburan dan gaya hidup di http://www.lifestylemediahub.com

Leave a Reply

Trending

Discover more from Lifestyle Media Hub

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading