Penglibatan golongan wanita dalam aktiviti fizikal dan latihan ketenteraan bukan sahaja mampu meningkatkan kecergasan tubuh badan, malah membentuk ketahanan mental, disiplin serta semangat patriotisme yang tinggi.

Perkara itu terbukti menerusi kejayaan puteri kepada Raja Muda Perlis, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail , yang berjaya menamatkan Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela (APMS) Tentera Darat Malaysia (TDM) yang berlangsung dari 7 hingga 20 Jun lalu di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

YAM Sharifah Farah Adriana merupakan anakanda puteri kedua Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin.

Kredit Foto: Istana Arau

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, Rejimen Askar Wataniah akan terus memperkukuhkan peranannya menerusi konsep “Raise, Train and Maintain” bagi memastikan kesiapsiagaan anggota sentiasa berada pada tahap terbaik.

Menurut baginda yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, konsep “raise” bukan sekadar menambah bilangan anggota, tetapi memastikan individu yang berkualiti dan berpotensi bersedia untuk diserap ke dalam pasukan.

Aktiviti Fizikal

Sementara itu, “train” menekankan latihan berkualiti tinggi agar anggota mampu beroperasi secara bersepadu dengan Angkatan Tetap, manakala “maintain” memastikan tahap kesiapsiagaan sentiasa terpelihara bagi tujuan pengukuhan kekuatan pertahanan negara pada bila-bila masa diperlukan.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Majlis Perbarisan Penutup Kursus APMS TDM.

Kredit Foto: Istana Arau

Kejayaan Sharifah Farah Adriana menamatkan kursus tersebut menjadi bukti bahawa wanita juga mampu mengharungi cabaran fizikal dan mental yang mencabar. Lebih penting, pencapaian itu membawa mesej bahawa tanggungjawab mempertahankan negara adalah amanah bersama yang merentasi jantina dan latar belakang masyarakat.

“Penglibatan institusi diraja ini mempertegas mesej bahawa semangat kecintaan terhadap watan harus dipupuk merentasi seluruh strata sosial masyarakat,” titah baginda.

YAM Sharifah Farah Adriana juga salah seorang daripada Ahli Lembaga Pengarah Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) dan Penaung Hermission House Extreme Sports Club (HHESC).

Puteri Raja Aktif

Dilahirkan di Hospital Zollikerberg, Zurich, Switzerland pada tahun 2001, YAM Sharifah Farah Adriana cukup meminati pelbagai jenis sukan dan pernah mewakili sekolah dalam bola sepak, bola jaring, olahraga, bola baling dan bola tampar selain pernah menyertai Persatuan Karate Budokan.

Kisah ini boleh menjadi inspirasi kepada lebih ramai wanita untuk melibatkan diri dalam aktiviti fizikal, sukan lasak, latihan kepimpinan dan kesukarelawanan yang mampu membentuk karakter diri yang lebih berdaya tahan.

Selain meningkatkan kesihatan fizikal, aktiviti sebegini turut membantu membina keyakinan diri, daya tahan emosi serta semangat kerja berpasukan.

Dalam usaha memperkasakan Askar Wataniah, Raja Muda Perlis turut menegaskan bahawa promosi dan usaha menarik penyertaan golongan muda akan terus dipergiatkan.

Fokus diberikan kepada individu yang sihat tubuh badan dan memenuhi syarat ditetapkan agar lebih ramai rakyat dapat menyumbang kepada pertahanan dan kedaulatan negara.

Kejayaan Sharifah Farah Adriana membuktikan bahawa wanita mampu berdiri sama tinggi dalam bidang yang menuntut ketahanan fizikal dan mental.

Ia sekali gus menjadi dorongan kepada generasi muda wanita untuk berani mencabar diri, memperkasa potensi dan menyumbang kepada negara melalui pelbagai bentuk penglibatan yang positif.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Istana Arau memaklumkan Hajah Sharifah Farah Adriana , 25, merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda (Bachelor of Business – Management) dari Royal Melbourne Institute Of Technology (RMIT) University, Australia dan peringkat Sarjana pula (Masters Of International Business) dari Monash University Malaysia.

Dapatkan informasi hiburan dan gaya hidup di http://www.lifestylemediahub.com

Leave a Reply

Trending

Discover more from Lifestyle Media Hub

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading