Penantian lebih 24 jam berakhir apabila kucing peliharaan pelakon, Azhan Rani yang diberi nama, Kilau, pulang ke rumah, kira-kira jam 5.20 pagi tadi.

Menurut Azhan, 50, kepulangan Kilau disedari adiknya yang terdengar bunyi kucing di luar rumah sebelum Kilau masuk melalui pintu belakang.
“Alhamdulillah, saya bersyukur sangat apabila Kilau akhirnya pulang sendiri. Semalam, saya balik daripada penggambaran kira-kira jam 2.30 pagi dan terus mencarinya sehingga jam 3.30 pagi, tetapi masih tidak jumpa.
“Saya sengaja buka pintu jeriji belakang kerana di situ laluan yang selalu digunakan Kilau untuk melompat. Kemudian, kira-kira jam 5.20 pagi, adik saya yang tidur di tingkat bawah terdengar bunyi kucing.
“Rupa-rupanya Kilau sudah masuk ke dalam rumah. Pada mulanya dia nampak takut, tetapi selepas dipujuk barulah dia mahu makan. Keadaannya sekarang baik, cuma kelihatan sedikit trauma. Syukur juga kerana tiada sebarang kecederaan serius pada badannya,” katanya memetik https://www.bharian.com.my/
Menurut Azhan lagi, kehilangan kucing baka British Long Hair itu kali ini amat luar biasa kerana Kilau tidak pernah menghilangkan diri dalam tempoh yang lama sebelum ini.

Azhan berkata, sebelum ini, dia memakaikan kolar yang tertera nama dan maklumat peribadinya pada semua kucing peliharaan bagi memudahkan orang ramai menghubunginya sekiranya haiwan itu ditemui.
Bagaimanapun, katanya, kolar berkenaan terpaksa ditanggalkan selepas membawa masalah kulit pada bahagian leher kucing.
“Kucing-kucing saya alami masalah kulit pada bahagian leher seperti kulat. Apabila dibawa ke klinik veterinar, doktor nasihatkan kolar ditanggalkan kerana menyebabkan bahagian leher menjadi lembap dan kucing kerap menggaru,” katanya.
Susulan kejadian itu, Azhan bercadang menutup ruang di bahagian belakang rumah yang menjadi laluan keluar masuk Kilau, selain memasang sebuah lagi kamera litar tertutup (CCTV) sebagai langkah pencegahan.
“Saya tahu penggunaan AirTag atau alat penjejak memang baik, tetapi saya bimbang ia tidak sesuai untuk Kilau atau kucing saya yang lain.
Penghargaan Untuk Semua
Dalam pada itu, Azhan turut merakamkan penghargaan kepada ahli keluarga, rakan-rakan serta orang ramai yang mendoakan keselamatan Kilau, malah ada yang sanggup turun padang membantu mencarinya.
“Saya tidak sangka begitu ramai yang membantu mencari dan mendoakan keselamatan Kilau. Terima kasih banyak-banyak,” katanya.

Malah, laman Instagram dan Facebook http://www.lifestylemediahub.com dipenuhi dengan keprihatinan orang ramai sejak berita kehilangan Kilau tersebar di media sosial. Kelakar pula apabila ada warganet berseloroh mengenai kehilangan Kilau telah membuatkan 1 Malaysia kecoh! Malah ada yang berseloroh muka Kilau seakan sama dengan tuannya, Azhan Rani.



Selain itu, Azhan turut menunaikan hajat dengan memberi makanan kepada kucing-kucing jalanan yang disifatkan sebagai pemberi rezeki untuk dirinya.
“Sekali lagi terima kasih atas doa, kasih sayang dan priihatin semua kepada anak bulus saya Kilau hingga Allah lorongkan jalan pulang ke rumah pada dia subuh tadi.
Selalu dengar orang lain yang kena. Kali ni kena batang hidung sendiri. Semoga Allah limpahkan kesihatan yang baik, rezeki yang murah dan keberkatan dunia akhirat untuk orang-orang baik.
“Mungkin ada sapa-sapa yang sedang menunggu kepulangan anak bulus dia boleh letak nama anak bulus dia di Instagram milik saya. Inshaallah asbab doa kita ramai-ramai, Alllah SWT akan angkat. Semoga semuanya dilorongkan jalan balik ke tempat sepatutnya dengan selamat. Amin,”ujarnya di laman Instagram miliknya.
Azhan juga dilihat melakukan rutin menderma darah sebagai salah satu tanda dirinya bersyukur di atas kepulangan kucing kesayangannya ke pangkuannya. Alhamdulillah.
Dapatkan informasi hiburan dan gaya hidup di http://www.lifestylmediahub.com





Leave a Reply