Tiket konsert 3DIVA LIVE IN MALAYSIA 2026 [TIMELESS], yang menyatukan tiga diva tersohor Indonesia, Kris Dayanti, Ruth
Sahanaya dan Titi DJ, akan mula dijual pada Sabtu, 5 September 2026, jam 12.00 tengah hari, secara eksklusif menerusi MAISEAT.


Bakal berlangsung pada Ahad, 22 November 2026 di Unifi Arena, Kuala Lumpur, TIMELESS membawa tema “Three Voices. One Legacy.”, meraikan perjalanan tiga nama ikonik yang telah mewarnai industri muzik serantau selama beberapa dekad menerusi karya dan persembahan yang terus dekat di hati peminat.

Sempena pembukaan jualan tiket, peminat berpeluang mendapatkan tiket menerusi Promosi Early Bird serendah RM138, dengan penjimatan RM100 bagi kategori CAT 1 hingga CAT 5. Promosi ini berlangsung dari 5 hingga 19 September 2026, atau selagi stok masih ada.

Penganjur turut menawarkan pakej khas “Semua Jadi Satu” Bundle untuk pembelian minimum empat tiket kategori VIP. Menerusi pakej ini, tiket VIP ditawarkan pada harga RM798 setiap satu, berbanding harga biasa RM898.
Bukan sekadar menyaksikan persembahan tiga diva di atas pentas, TIMELESS turut menawarkan pengalaman lebih dekat bersama Kris Dayanti, Ruth Sahanaya dan Titi DJ menerusi Hi-Bye, Sound Check, sesi foto serta After Party eksklusif, bergantung kepada kategori tiket.

Menurut Audrey Wan Yuen Theng, Pengarah Urusan T-Rex Studio Sdn Bhd, TIMELESS dirancang bukan sekadar sebagai sebuah konsert, sebaliknya sebagai sebuah perayaan terhadap perjalanan dan legasi 3DIVA yang telah bertahan selama dua dekad.

Kris Dayanti

“Kris Dayanti, Ruth Sahanaya dan Titi DJ mempunyai hubungan yang cukup istimewa dengan peminat di Malaysia. Lagu-lagu mereka telah menemani kita selama bertahun- tahun dan masih terus didengari sehingga hari ini.

“Dengan TIMELESS, kami mahu peminat bukan sahaja datang menyaksikan sebuah konsert, tetapi kembali menikmati memori, lagu dan perjalanan tiga figura yang telah menjadi sebahagian daripada sejarah muzik serantau.

“Sebab itu kami turut memperkenalkan harga Early Bird dan pakej ‘Semua Jadi Satu’ supaya peminat boleh datang bersama keluarga dan sahabat, selain menyediakan beberapa pengalaman eksklusif yang membawa mereka lebih dekat dengan 3DIVA,”katanya.

EARLY BIRD SERENDAH RM138
Promosi Early Bird menawarkan penjimatan RM100 untuk lima kategori tiket:
CAT 1
Harga Biasa: RM698
Early Bird: RM598
CAT 2
Harga Biasa: RM498
Early Bird: RM398
CAT 3
Harga Biasa: RM398
Early Bird: RM298
CAT 4
Harga Biasa: RM298
Early Bird: RM198
CAT 5
Harga Biasa: RM238
Early Bird: RM138
Promosi berlangsung sehingga 19 September 2026 atau selagi stok masih ada, yang mana terdahulu. Bagi peminat yang mahu hadir beramai-ramai, pakej “Semua Jadi Satu” Bundle pula
menawarkan tiket VIP pada harga RM798 setiap satu dengan pembelian minimum empat tiket, memberikan penjimatan RM100 bagi setiap tiket berbanding harga biasa RM898.

Titi DJ

Hi-Bye DAN AFTER PARTY BERSAMA 3DIVA
Kategori premium TIMELESS bukan sahaja menawarkan kedudukan tempat duduk lebih hampir dengan pentas, malah hadir bersama beberapa pengalaman eksklusif. Pemegang tiket VIP berharga RM898 mendapat akses ke Hi-Bye bersama 3DIVA dan Sound Check, selain menerima photocard rasmi.
Sebanyak 300 pemegang tiket VIP akan dipilih menerusi sistem cabutan untuk menyertai sesi foto berkumpulan 1:20 bersama 3DIVA, manakala 400 pemegang tiket VIP berpeluang menerima poster bertandatangan.

Bagi kategori tertinggi, pemegang tiket SVIP berharga RM1,098 akan mendapat akses eksklusif ke After Party bersama 3DIVA, selain Sound Check, sesi foto berkumpulan 1:20, photocard dan poster bertandatangan. Lebih istimewa, 100 pemegang tiket SVIP akan dipilih menerusi sistem cabutan untuk menikmati peluang sesi foto 1:1 bersama 3DIVA. Semua pemegang tiket, daripada SVIP hingga CAT 5, turut menerima poster rasmi acara.

Ruth Sahanaya

DUA DEKAD LEGASI 3DIVA
TIMELESS hadir pada tahun yang cukup signifikan apabila 2026 menandakan dua dekad perjalanan 3DIVA, sejak Kris Dayanti, Ruth Sahanaya dan Titi DJ disatukan sebagai sebuah trio pada 2006.
Ketiga-tiganya sudah pun memiliki kerjaya solo yang kukuh ketika 3DIVA diperkenalkan.

Penyatuan tiga karakter, kekuatan vokal dan katalog muzik berbeza kemudiannya membentuk sebuah kolaborasi yang mempunyai identiti tersendiri dalam industri muzik Indonesia dan serantau.

Pada era awal 3DIVA, persembahan mereka turut mendapat sentuhan Erwin Gutawa sebagai penata muzik dan Jay Subiyakto sebagai penata artistik, menghasilkan konsep persembahan berskala besar yang menjadi antara identiti awal trio berkenaan.


Hubungan 3DIVA dengan Malaysia juga mempunyai sejarah tersendiri. Trio itu pernah membawa persembahan mereka ke Malaysia pada 2007, membuktikan bahawa populariti Kris Dayanti, Ruth Sahanaya dan Titi DJ tidak hanya tertumpu di Indonesia.
Sedekad kemudian, pada 2016, ketiga-tiganya kembali menerusi siri konsert reunion di Indonesia, termasuk persembahan di Yogyakarta, Jakarta dan Surabaya.

Walaupun masing-masing terus aktif dengan kerjaya solo, mereka kembali berkongsi pentas sebagai 3DIVA dalam beberapa persembahan selepas itu, termasuk Synchronize Fest 2022. Pada Januari 2025, ketiga-tiganya turut bergabung dengan tiga penyanyi generasi baharu menerusi konsert berskala besar Super Diva di Indonesia Arena, Jakarta.


Kini, 20 tahun selepas bermulanya perjalanan 3DIVA dan sedekad selepas siri reunion 2016, Kris Dayanti, Ruth Sahanaya dan Titi DJ kembali membawa legasi itu kepada peminat Malaysia menerusi TIMELESS.
Dengan katalog lagu yang telah menemani beberapa generasi pendengar, 3DIVA LIVE IN MALAYSIA 2026 [TIMELESS] bukan sekadar sebuah perjalanan nostalgia, tetapi sebuah perayaan terhadap tiga suara, tiga perjalanan seni dan satu legasi yang terus bertahan merentas zaman.

Tiga diva. Dua dekad legasi. Satu malam yang TIMELESS.

Leave a Reply

Trending

Discover more from Lifestyle Media Hub

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading