Di sebalik senyuman, Nurfatimah menyimpan pelbagai rasa. Berhadapan masalah kesihatan jantung sejak berusia 4 tahun, ia membataskan Nurfatimah dalam banyak perkara meskipun dikategorikan sebagai pelajar yang bijak dan mempunyai potensi yang baik dalam pelajaran.

Prihatin dengan keadaan semasa keluarga Nurfatimah, Yayasan Bawal menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,600 kepada keluarga adik Nurfatimah, seorang kanak-kanak yang bakal menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 September 2026.

Kisah adik Nurfatimah sampai kepada pengetahuan pengasas Bawal Exclusive, Puan Hajah Haliza Maysuri, melalui guru besar sekolahnya, yang juga merupakan pelanggan Bawal Exclusive serta pengikut setia Instagram peribadi beliau.

Menurut guru besarnya, Nurfatimah merupakan seorang murid yang bijak dan mempunyai potensi yang baik dalam pelajaran. Keadaan keluarganya bagaimanapun agak terbatas. Bapanya bekerja sebagai pemandu hospital, manakala ibunya tidak bekerja dan menguruskan lima orang anak.

Keluarga ini berasal dari Seremban, Negeri Sembilan dan tidak mempunyai tempat tinggal di Kuala Lumpur sepanjang tempoh rawatan. Kos pembedahan Nurfatimah ditanggung sepenuhnya melalui kemudahan yang diterima bapanya sebagai kakitangan hospital.

Justeru, sumbangan RM5,600 daripada Yayasan Bawal bukan untuk membiayai kos pembedahan, sebaliknya bagi membantu keperluan keluarga sepanjang berada di Kuala Lumpur termasuk tempat tinggal, makan minum, pengangkutan serta perbelanjaan harian sepanjang tempoh rawatan yang dianggarkan sekitar 17 hari.

“Apabila guru besarnya sendiri menghubungi saya dan menceritakan keadaan Nurfatimah, saya percaya beliau adalah perantara yang Allah hantarkan. Anak ini bijak dan mempunyai masa depan.

Ayahnya bekerja mencari rezeki, ibunya menjaga lima orang anak. Mereka bukan meminta kemewahan, mereka cuma perlukan sedikit ruang untuk melalui ujian ini dengan lebih tenang.

“Ya Allah, tenang sungguh anak ini. Wajahnya sedikit pucat, tetapi cara dia bercakap seolah-olah tiada sakit yang sedang ditanggung. Bila ibunya menangis, dia sendiri berkata “ibu, jangan menangis..adik okey..Adik akan sihat,” ujar Haliza dengan deraian air mata mengalir di pipi.

RM5,600 mungkin tidak besar bagi sesetengah orang, tetapi mudah-mudahan cukup untuk meringankan satu keluarga yang sedang menunggu anak mereka keluar dari bilik pembedahan dengan selamat.

Saya dan seluruh warga Yayasan Bawal mendoakan semoga Allah mempermudahkan pembedahan Nurfatimah pada 8 September nanti, mengurniakan kesembuhan yang sempurna dan memberi kekuatan kepada seluruh keluarganya,” kata Puan Hajah Haliza.

Berkesempatan bertemu keluarga ini di Institut Jantung Negara baru-baru ini, Haliza tidak dapat menyembunyikan perasaannya melihat ketabahan dan semangat yang ditunjukkan oleh keluarga yang sedang berhadapan dengan ujian ini.

Menurut Haliza, sumbangan yang disampaikan oleh Yayasan Bawal merupakan sumbangan termasuk sedekah daripada pengikut Haliza Maysuri di laman media sosial yang menyumbang melalaui tabung sedekah subuh.

“Saya percaya, apabila Allah mahu menolong seseorang, Allah akan gerakkan hati manusia lain untuk menjadi jalan pertolongan itu.

Semoga pembedahan adik Nurfatimaah dipermudahkan, diberikan kesembuhan yang sempurna dan suatu hari nanti dia membesar menjadi anak yang hebat, sebagaimana hebatnya dia menghadapi ujian hari ini,” ujar Haliza mengakhiri perbualan.

Yayasan Bawal akan terus membantu masyarakat yang memerlukan berdasarkan keperluan dan kemampuan, khususnya dalam aspek kesihatan, pendidikan dan kebajikan keluarga.

Dapatkan informasi hiburan dan gaya hidup di http://www.lifestylemediahub.com

Leave a Reply

Trending

Discover more from Lifestyle Media Hub

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading