Takdirnya Cinta buat pertama kalinya telah menyatukan dua pelakon hebat iaitu Zul Ariffin dan Siti Khadijah. Drama yang boleh ditonton di platform penstriman (OTT) UTV yang telah menjalani penggambaran di Istanbul, Turkiye itu merupakan hadiah dari Usanita Group sempena meraikan ulang tahun pertama, platform penstriman tersebut.

“Sejak awal, kami memang mahu Zul menjadi sebahagian daripada karya UTV. Kami merasakan naskhah ini peluang terbaik untuk menggandingkan Zul dengan Siti memandangkan mereka belum pernah dipertemukan sebagai pasangan dalam mana-mana naskhah.
“Sepanjang penggambaran, saya dapat rasakan keserasian yang wujud dan kedua-duanya mempunyai kekuatan tersendiri selain berjaya memberi lakonan hebat dalam Takdirnya Cinta.
Menurut Adzliana, pemilihan Istanbul sebagai antara lokasi utama penggambaran pula dibuat bagi memberikan identiti tersendiri kepada naskhah tersebut.
“Istanbul mempunyai sisi romantik yang cukup kuat, tetapi dalam masa sama masih mempunyai elemen dan suasana Islamik yang dekat dengan kita.

“Seni bina, budaya dan pembangunan kotanya memberikan visual serta suasana yang sangat menarik untuk perjalanan kisah cinta ini.
“Kami mahu penonton bukan sahaja mengikuti cerita Sofea (lakonan Siti Khadijah), tetapi turut merasai perjalanan emosi watak menerusi suasana dan keindahan Istanbul,” katanya.
Adzliana menambah, Takdirnya Cinta juga cukup signifikan kerana hadir ketika UTV meraikan ulang tahun pertama dalam dunia OTT.
“Perjalanan selama setahun ini sangat bermakna. Dalam tempoh ini, UTV berjaya menghasilkan pelbagai karya yang mendapat perhatian dan trending dalam kalangan penonton.
“Takdirnya Cinta menjadi antara hadiah istimewa kami sempena perjalanan setahun UTV dan kami berharap dapat membuka lembaran kepada lebih banyak karya menarik selepas ini,” katanya lagi.
“Wishlist” terlaksana
Bagi Siti pula, dia menerima tawaran Takdirnya Cinta kerana jalan cerita yang menarik dan berpeluang bergandingan dengan Zul.
Katanya, dia menganggap Zul sebagai seorang aktor yang mudah untuk bekerjasama dan hebat dalam melontarkan emosi dalam lakonan.
“Dia memang ada dalam ‘wishlist’ pelakon yang saya nak bekerjasama. Tidak mungkin nama Zul tak ada dalam senarai.
“Siapa yang tak nak berlakon dengan dia. Bila diberikan tawaran ini, saya memang tidak lepaskan peluang,” kongsinya.
Dalam masa sama, dia mengakui gementar setiap kali menjayakan babak bersama Zul.
“Memang gementar dan saya sebagai pelakon dapat rasakan aura dia sangat kuat.

“Lontaran dialog dia pun sangat semula jadi dan buatkan saya perlu berikan energi yang setara.
“Syukur kerjasama kami berjalan dengan baik dan sangat seronok dapat kerja seluruh produksi termasuk pelakon lain yang terlibat,” jelasnya.
Sinopsis
Takdirnya Cinta mengisahkan Sofea yang melalui fasa kecewa dalam hubungan cinta, termasuk kehilangan tunangnya, akibat kemalangan.

Bagi merealisasikan amanat terakhir tunang tercinta, dia nekad terbang ke Istanbul bagi mencari abang tunangnya iaitu Mikail (Zul) di Istanbul.
Selain Zul dan Siti, karya yang mula menemui penonton pada 9 September lalu turut dibintangi oleh Fattah Amin.
Dapatkan informasi hiburan dan gaya hidup di http://www.lifestylemediahub.com





Leave a Reply