Seorang guru Pendidikan Islam didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan perbuatan cuai sehingga menyebabkan kematian seorang pelajar dan melanggar seorang lagi pelajar dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di kawasan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Mas di sini, enam bulan lalu.
Tertuduh, Sakinah Ismail, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Wan Mohd. I’zzat Wan Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama, wanita itu didakwa telah menyebabkan kematian Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, dengan melakukan satu perbuatan cuai yang tidak terjumlah kepada kesalahan mematikan orang dengan salah.
Perbuatan itu dilakukan di kawasan surau SMK Tanjung Mas, Taman Uda Murni, Jalan Pengkalan Chepa di sini kira-kira pukul 1.40 tengah hari pada 12 April 2026.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Sakinah dituduh dengan cuai melanggar Zara Akhtar Zamzuri, 13, menggunakan sebuah SUV jenis Honda HR-V sehingga membahayakan nyawanya di lokasi, tarikh dan pada waktu yang sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM500 atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nadzir Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Hasif Hassan dan Wan Fadhil Fayyadh Wan Mohd. Zuhari.
Terdahulu, Muhammad Nadzir menawarkan jaminan RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Muhamamd Hasif dalam rayuannya memohon ikat jamin paling minimum dengan alasan tertuduh yang juga merupakan seorang ustazah yang berdisiplin dan akan memberi kerjasama baik selain tinggal di Kota Bharu.
“Tertuduh tidak pernah terbabit dengan sebarang kesalahan sudah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak dua kali.
“Selain itu, anak guam saya juga merupakan penerima anugerah guru personaliti terbaik di sekolah tersebut pada tahun lalu dan akan bersara pada 16 November tahun depan,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua kes.
Mahkamah turut menetapkan 6 Disember depan untuk sebutan semula kes dan tertuduh membayar jaminan tersebut.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, luluh hati seorang bapa melihat anaknya terbujur dalam keadaan tidak bernyawa di dalam surau selepas dirempuh sebuah SUV Honda HR-V di dalam kawasan sekolah pada 12 April lalu.
Dalam kejadian itu, mangsa, Nur Fatimatul Hawa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah pada bahagian kepala manakala rakannya, Zara Akhtar parah pada bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Azmir Damiri berkata, siasatan awal polis mendapati insiden berpunca daripada pemandu SUV tersebut yang dipercayai tertekan pedal minyak sebelum terbabas merempuh mangsa.
Menurutnya, ketika kejadian pemandu Honda HR-V itu dipercayai tertekan pedal minyak sebelum terbabas dan melanggar dua pelajar perempuan yang sedang memakai kasut di depan surau.
Sumber: https://www.kosmo.com.my/




Leave a Reply