“Saya tidak selamatkan Bella. Bella selamatkan diri sendiri.”-Syed Saddiq
Dalam meraikan hari bahagia mereka semalam, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq tampil mempertahankan isterinya, Bella Astillah daripada kecaman netizen sewaktu memberi ucapan sempena majlis resepsi perkahwinan mereka yang disaksikan lebih kurang 3,000 tetamu jemputan khas.

Menurut Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 34, ada segelintir netizen yang mendakwa mereka adalah pasangan yang tidak sekufu.
“Saya lihat ada yang melontarkan komen dalam sosial media. Kata mereka, Bella beruntung kerana mendapat lelaki seperti saya. Syed Saddiq lelaki ‘green forest’. Ada yang sanggup berkata bahawa kami tidak sekufu.
“Saya mahu mempertahankan isteri saya malam ini (semalam). Mungkin kalian tidak tahu, Bella seawal usia lima tahun sudah menyertai pertandingan Bintang Kecil RTM. Dan daripada bakat dan persembahannya, dia berjaya membawa keluarga berpindah dari Sabah ke Kuala Lumpur ketika berusia tujuh tahun.

“Saya ketika berusia tujuh tahun masih main getah pemadam dengan kawan di sekolah. Tetapi Bella dia sudah mula berdikari dengan mencari sumber pendapatan untuk keluarganya.
“Nak cakap soal pendidikan, ya memang saya dapat tawaran di universiti terbaik. Dapat lanjutkan pelajaran ke menara gading. Tetapi ketika saya berada di menara gading, Bella sudah bergelar seorang ibu. Ibu yang begitu luar biasa mendidik dua orang anaknya. Itu adalah sumbangan Bella yang luar biasa,” katanya.

Ahli parlimen Muar ini juga menegaskan jika benar mahu berbahas soal sekufu, dia berasakan dirinya paling tidak layak untuk dibandingkan dengan isteri tercinta, Bella.

“Kalau nak bicarakan soal sekufu, saya yang tak layak untuk berdiri di sebelah Bella. She is the ultimate green forest, she is the ultimate mother. I am privileged to call her my wonderful wife,” ujarnya.
Wajah Sebak Bella Jadi Sorotan
Bella yang berdiri di sebelah Saddiq sambil menggengam erat tangan suaminya itu dilihat sedikit sebak dan mengesat air mata jelas menunjukkan rasa terharu melihat seorang lelaki bergelar suami mempertahankan isterinya.
Ucapan menyentuh hati Saddiq mendapat sorakan dan tepukan gemuruh daripada 3,000 tetamu yang hadir di hari bahagia mereka.
Ketika ditemui pihak media usai tamat majlis resepsi, Bella tidak dapat menyembunyikan rasa terharu mendengar ucapan daripada suami tersayang.
“Sebenarnya saya terkejut kerana tidak tahu suami akan membuat ucapan tersebut. Saya sangat terharu dan lega bila ada orang yang sayang saya dan anak-anak dengan ikhlas dan mempertahankan saya.
“Saya tak pernah terfikir ataupun meminta suami untuk keluarkan kenyataan kerana bagi saya ini adalah lumrah sebagai seorang selebriti. Apa sahaja yang dilakukan akan diperhatikan.
“Tetapi bila dia memberikan ucapan tersebut di hadapan 3,000 tetamu, saya sangat terharu. Saya faham dia sebenarnya tak mahu saya rasa sedih,” kongsinya.
Saddiq turut menambah kenyataan bahawa dia bukanlah penyelamat hidup Bella, sebaliknya menyifatkan wanita itu menyelamatkan hidupnya sendiri.
“Kenyataan bahawa Bella perlukan penyelamat adalah tidak benar. Saya tidak selamatkan Bella. Bella selamatkan diri sendiri. Dia seorang yang kuat dan berdikari, tanpa saya pun, dia berjaya bahagiakan dua anaknya — berikan pendidikan yang terbaik. Saya cumalah pelengkap hidupnya,” katanya.
Kehadiran 3000 tetamu termasuklah ahli politik, atlet negara, selebriti dan ahli keluarga menyaksikan majlis resepsi pertama pasangan ini diadakan dalam suasana meriah di MITEC Kuala Lumpur. Turut kelihatan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang turut menyumbangkan sebuah lagu untuk pasangan mempelai.
Dapatkan informasi hiburan dan gaya hidup di http://www.lifestylemediahub.com




Leave a Reply