Bukan sekadar lagu tentang perjuangan, single terbaharu Hazreen Amreena berjudul ‘Teruskanlah’ membawa kisah pengorbanan insan yang memilih untuk terus kuat demi keluarga, meskipun jauh di sudut hati menyimpan kelelahan dan kesedihan sendiri.
Setiap orang mempunyai perjuangan tersendiri. Ada yang memilih untuk berkongsi cerita, namun tidak kurang juga yang lebih selesa menyembunyikan kesedihan di sebalik senyuman demi memastikan insan tersayang tidak terbeban dengan apa yang sedang dilalui.
Mengangkat kisah penuh emosi itu, penyanyi baharu di bawah naungan Shiha Zikir Empire (SZE), Hazreen Amreena, 29, tampil dengan single terbaharu berjudul Teruskanlah, sebuah karya yang cukup dekat dengan perjalanan hidupnya.

Dihasilkan menerusi kerjasama Shiha Zikir Empire dan Sony Music Entertainment Malaysia, lagu berkenaan membawa mesej tentang perjuangan, pengorbanan dan kekuatan seseorang untuk meneruskan kehidupan demi keluarga serta insan tersayang.
Menurut Hazreen, lagu tersebut mempunyai makna yang lebih mendalam buat dirinya berbanding single pertama yang lebih berkisarkan tentang percintaan.
Sebaliknya, Teruskanlah mengetengahkan realiti kehidupan individu yang terpaksa memendam kepenatan dan kesedihan sendiri kerana merasakan tanggungjawab terhadap keluarga perlu diutamakan.
“Tipulah kalau tidak pernah rasa penat atau terfikir untuk mengalah, tetapi kita tetap gagahkan diri meneruskan kehidupan demi orang yang tersayang.
“Ada juga perkara yang kita pendam sendiri supaya tetap nampak kuat di mata orang tersayang, sedangkan jauh di sudut hati, sebenarnya kita tidak kuat.
“Jadi, menerusi lagu Teruskanlah, sedikit sebanyak ia dapat meluahkan apa yang tersimpan dalam hati seseorang yang mungkin tidak mampu diluahkan sendiri. Insya-Allah, lagu ini boleh memujuk dan memeluk hati mereka yang sedang berhabis-habisan berjuang untuk terus kuat,” katanya.
Inspirasi Daripada Kisah Anak Sulung
Menariknya, Teruskanlah bukan sekadar sebuah lagu yang dihasilkan berdasarkan imaginasi, sebaliknya tercetus daripada perkongsian pengalaman serta luahan peribadi Hazreen sendiri.
Hazreen menyifatkan peluang bekerjasama dengan Shiha sebagai sesuatu yang cukup bermakna, apatah lagi penyanyi itu sendiri bertanggungjawab menghasilkan keseluruhan lagu berkenaan sebagai penulis lirik dan komposer.

Malah, ketegasan Shiha ketika bekerja turut memberikan banyak dorongan kepadanya untuk lebih berdisiplin dan serius dalam membina kerjaya seni.
“Lagu ini bermula apabila Kak Shiha bertanya kepada saya lagu bagaimana yang saya mahukan. Saya beritahu yang saya mahukan sebuah lagu tentang anak sulung atau individu yang menjadi penyara keluarga, yang sentiasa bekerja keras untuk orang tersayang walaupun diri sendiri penat dan tiada tempat untuk meluahkan perasaan.
“Daripada situ, terhasillah karya yang cukup bermakna ini. Terima kasih Kak Shiha untuk lagu yang begitu dekat dengan hati saya,” katanya.
Bagi Hazreen, mesej yang disampaikan menerusi lagu tersebut bukan hanya mewakili dirinya, malah turut ditujukan kepada sesiapa sahaja yang sedang berusaha merealisasikan impian masing-masing.
Mengakui pernah berdepan detik hilang semangat sepanjang perjalanan membina kerjaya dalam bidang seni, dia bagaimanapun percaya bahawa rasa penat dan kecewa tidak seharusnya menjadi alasan untuk berhenti berusaha.
“Seperti saya, saya masih berusaha mencapai impian dalam bidang seni. Tipulah kalau tidak pernah terfikir untuk mengalah, tetapi itu bukan alasan untuk saya berhenti di tengah jalan.
“Saya harap apabila orang mendengar lagu ini, mereka akan menjadi lebih kuat, tidak mudah mengalah dan terus berjuang hingga ke akhirnya,” ujarnya.
Selain berharap lagu itu mendapat tempat di hati peminat, Hazreen turut menyimpan impian agar Teruskanlah menjadi batu loncatan untuk mengembangkan kerjaya seninya.
Dia juga berharap karya tersebut dapat digunakan di platform media sosial sebagai latar perkongsian kisah suka duka kehidupan pendengar.
“Kalau lagu ini dapat menjadi pemangkin semangat kepada seseorang, saya sangat bersyukur,” katanya.
Shiha Gali Kisah Peribadi Hazreen Sebelum Cipta Lagu
Di sebalik penghasilan Teruskanlah, Shiha mendedahkan dia terlebih dahulu meluangkan masa mengenali kisah kehidupan Hazreen dengan mengajukan pelbagai soalan sebelum mula menulis lagu berkenaan.
Baginya, setiap karya yang dihasilkan untuk artis di bawah naungan SZE perlu memenuhi kehendak kedua-dua pihak agar penyanyi yang membawakan lagu itu benar-benar selesa dan berpuas hati.
“Untuk lagu kedua Hazreen ini, memang saya tanya dia mahu lagu bagaimana. Bagi saya, kalau hendak keluarkan lagu artis di bawah naungan saya, kedua-dua belah pihak perlu rasa gembira dan puas hati.
“Hazreen boleh dapat lagu yang dia mahukan, begitu juga dengan saya. Sewaktu menulis lagu ini, saya banyak bertanya kepadanya.
“Katanya, dia mahukan lagu tentang apa yang dilalui oleh anak sulung kerana kadang-kadang dia sendiri rasa penat, tetapi perlu kuat untuk berbakti kepada keluarga,” jelasnya.
Lebih menarik, Shiha turut mendedahkan beberapa pengalaman peribadi Hazreen menjadi inspirasi kepada penghasilan lirik lagu tersebut.
Antaranya, tabiat Hazreen yang lebih gemar bersendirian di dalam bilik dan menangis apabila berdepan kesedihan.
Perkongsian itu kemudiannya diterjemahkan Shiha menerusi bait lirik yang cukup menyentuh perasaan.
“Saya tanya bagaimana cara dia meluahkan perasaan. Menurutnya, ketika sedang sedih, dia suka duduk di dalam bilik dan menangis.
“Daripada pengalamannya itu, saya tulis lirik, ‘Di kamar ku sendiri, bertahan untuk berdiri, di saat duniaku runtuh melalui takdir sendiri’.
“Begitu juga dengan jawapan-jawapan lain yang diberikan kepada saya. Saya tukar dan olah menjadi lirik lagu ini,” katanya.
Walaupun inspirasi asal lagu itu banyak berkisar tentang pengalaman anak sulung yang memikul tanggungjawab keluarga, Shiha percaya mesejnya jauh lebih luas dan boleh dikaitkan dengan sesiapa sahaja yang bekerja keras demi insan tersayang.
Malah, dia sendiri dapat merasai perjalanan emosi yang cuba disampaikan menerusi lagu tersebut kerana turut bekerja keras untuk berkongsi rezeki bersama keluarga, ibu bapa dan pasangan.
“Saya sendiri boleh kaitkan dengan mesej dan penceritaan lagu ini. Selain untuk diri sendiri, kita bekerja untuk membantu atau berkongsi rezeki dengan keluarga, ibu bapa dan pasangan bagi yang sudah berkahwin.
“Saya mahu lagu ini menjadi peneman buat mereka yang penat lelah melalui perjalanan kehidupan,” katanya.
Kagum Dengan Vokal Dan Kesungguhan Hazreen
Beralih kepada keistimewaan anak didiknya itu, Shiha mengakui kemampuan vokal Hazreen menjadi antara faktor yang membuatkannya teruja menghasilkan lagu untuk penyanyi berkenaan.
Menurutnya, Hazreen mempunyai julat vokal yang luas, sekali gus memberikan kebebasan kepadanya untuk meneroka pelbagai melodi dan susunan vokal.
“Hazreen mempunyai vocal range yang tinggi. Saya pun seronok menghasilkan lagu untuk dia kerana saya boleh mencuba macam-macam.
“Dia boleh mencapai nota yang lebih tinggi daripada saya sendiri, selain boleh menyanyikan nota rendah dan tinggi.
“Lagu ini memang sesuai dengan suaranya. Apabila sudah menghasilkan sesuatu, sudah tentu saya mahukan hasil terbaik dan memuaskan hati,” katanya.
Bukan hanya memiliki kemampuan vokal yang baik, Hazreen turut mendapat pujian kerana sikapnya yang rajin dan mempunyai keinginan tinggi untuk memperbaiki diri.
Shiha mendedahkan penyanyi itu menjalani sesi latihan secara berkala di pejabatnya sebelum memasuki studio rakaman bagi memastikan segala persediaan dilakukan dengan sebaik mungkin.
Pendekatan itu diambil supaya Hazreen lebih yakin dan bersedia apabila berhadapan dengan pasukan produksi di studio.
Dalam masa sama, muzik video Teruskanlah turut diberikan sentuhan simbolik menerusi konsep visual yang ringkas tetapi sarat dengan maksud tersendiri.
Antara elemen yang digunakan ialah lilin yang hampir terpadam, menggambarkan seseorang yang tetap berusaha untuk terus bersinar walaupun berdepan kesukaran.
Bukan Sekadar Penyanyi, Hazreen Berani Teroka Bidang Lain
Selain perkembangan dalam bidang nyanyian, Shiha turut berpuas hati melihat kesungguhan Hazreen mencuba pelbagai cabang seni sepanjang berada di bawah naungan SZE.
Menurutnya, Hazreen bukanlah individu yang hanya menunggu peluang datang, sebaliknya sentiasa berusaha mencari ruang untuk menambah pengalaman dan mengembangkan bakat.
Selain menyanyi, Hazreen turut menghasilkan kandungan media sosial bersama Shiha, mencuba bidang lakonan serta terlibat dalam pelbagai tugasan berkaitan produksi.
“Saya suka Hazreen kerana dia tidak mudah berputus asa, rajin dan tidak hanya duduk diam. Zaman sekarang, kalau tiada usaha, susahlah. Hazreen jenis orang yang sanggup mencuba macam-macam.
“Apa yang saya lihat, dia sudah menunjukkan peningkatan dan tidak lagi malu di hadapan kamera,” katanya.
Mengulas mengenai pemilihan bakat baharu untuk bernaung di bawah SZE, Shiha menegaskan bahawa populariti dan jumlah pengikut di media sosial bukanlah keutamaan.
Sebaliknya, dia lebih mengutamakan individu yang benar-benar mempunyai minat mendalam terhadap bidang seni, bersedia menerima tunjuk ajar dan sanggup bekerja keras untuk membina kerjaya.
“Walaupun zaman sekarang ramai yang menilai berdasarkan media sosial, isu tular dan sebagainya, saya selalu beritahu Hazreen tidak mengapa jika perjalanan kerjaya agak perlahan, asalkan terus berusaha kerana rezeki itu kurniaan Allah SWT.
“Sebelum memilih bakat baharu untuk bernaung di bawah SZE, saya akan bertanya terlebih dahulu. Kalau tujuan mereka hanya untuk menjadi popular semata-mata, saya tidak mahu.
“Namun, kalau mereka kata nyanyian adalah jiwa, mempunyai minat mendalam dan sanggup belajar, insya-Allah saya boleh pertimbangkan,” katanya.
Bagi Hazreen, Teruskanlah diharapkan menjadi lebih daripada sekadar sebuah karya muzik, sebaliknya mampu menjadi teman buat mereka yang sedang bergelut dengan tanggungjawab, impian dan cabaran kehidupan.
Untuk rekod, lagu Teruskanlah mula boleh didengari menerusi platform penstriman digital pada 3 November 2026, manakala muzik video rasminya turut dilancarkan di YouTube pada tarikh yang sama.
Dapatkan informasi hiburan dan gaya hidup di http://www.lifestylemediahub.com





Leave a Reply