Sahabat mana yang tidak merasa bangga dan bersyukur melihat perubahan sahabat yang sebelum ini terjerumus ke kancah dadah kini kembali mengatur kehidupan dengan lebih baik.
Itu antara momen yang dikongsi oleh komposer dan anggota kumpulan Exists, Ajai meluahkan rasa bangga melihat perubahan positif rakan seperjuangannya, Mamat Exists, yang kini bangkit daripada episod hitam penyalahgunaan najis dadah.

Ajai atau nama sebenarnya Mohd Faizal Maas berkata kegembiraan sebenar buat dirinya adalah apabila melihat semua anggota Exists berjaya menjalani kehidupan yang stabil, termasuk Mamat yang kini semakin pulih dan kembali ke landasan betul.
“Kegembiraan pada rakan yang pernah kita membesar bersama itu yang paling penting. Bagi saya, anggota lain semua dah capai matlamat masing-masing. Masing-masing ada rezeki, kesenangan meskipun tidaklah terlalu kaya dan tidaklah susah.
“Tetapi cukup untuk menampung kehidupan dan menjaga keluarga. Jadi saya mahu perkara itu juga ada pada Mamat,” katanya ketika ditemui di sidang media Exists Momento Mori baru-baru ini.

Perubahan Mamat
Menurut Ajai lagi, perubahan Mamat bukan sahaja kerana hasil sokongan rakan-rakan seperjuangan, sebaliknya keazaman dirinya sendiri untuk keluar daripada persekitaran negatif.
“Alhamdulillah dengan doa ahli dan sokongan berterusan supaya dia tidak lagi terlibat dengan persekitaran yang tidak betul. Saya pernah cakap dengan dia bahawa hati sendiri yang tentukan sama ada mahu keluar atau tidak daripada semua ini.
“Orang lain boleh beri nasihat, beri sokongan, tetapi keputusan itu datang daripada diri dia sendiri. Hari ini dia buktikan bahawa perubahan itu memang datang daripada dirinya,” jelasnya sambil melahirkan rasa bangga terhadap transformasi yang dilakukan oleh Mamat untuk diri dan keluarganya.
Perubahan Positif
Komposer itu turut melahirkan rasa bangga melihat perbezaan ketara pada diri Mamat yang bukan sahaja dari segi penampilan, malah cara percakapan dan pembawakan diri.
“Saya rasa bangga hari ini kita dapat lihat wajah dia yang lebih segar, cara dia bercakap pun berbeza. Memang lain dengan Mamat yang kita kenali sewaktu dia berada dalam masalah dahulu.

“Yang paling saya banggakan apabila dia kini dipercayai oleh pihak Pengasih Malaysia untuk beri motivasi kepada mereka yang pernah bermasalah seperti dia. Dia kongsikan pengalaman positif dan negatif, dan bagaimana dia bangkit ke arah yang lebih baik.
“Itu sesuatu yang sangat bermakna kerana dia sendiri pernah melalui pengalaman tersebut. Bangga saya bukanlah apa, cuma saya mahu dia lalui kehidupan seperti apa yang kami lalui sebelum ini. Itu sahaja,” ujarnya yang bakal bergandingan dengan kesemua anggota asal Exists untuk Konsert Exists Momento Mori di Unifi Arena, Bukit Jalil pada 1 Ogos ini.
Untuk informasi hiburan dan gaya hidup, layari https://lifestylemediahub.com/





Leave a Reply