“Bukan setakat soal kegembiraan peribadi, tetapi tanggungjawab sebagai suami dan bapa,”-Syed Saddiq.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang memaklumkan dirinya kini sedang menghitung hari untuk bergelar suami kepada pelakon dan penyanyi, Bella Astillah yang dijadualkan sebelum akhir tahun ini.

Terdahulu, Syed Saddiq, 34, hadir untuk merasmikan Majlis Anugerah Inspirasi 2026 anjuran PTTI Group Sdn Bhd di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Menurut ahli politik itu lagi, proses persiapan majlis perkahwinannya dan Bella kini berjalan lancar dan banyak dibincangkan secara tertutup membabitkan kedua-dua belah keluarga.

“Saya Mahu Bella & Keluarga Bahagia”-Syed Saddiq

“Alhamdulillah semua berjalan dengan baik seperti yang saya katakan sebelum ini. Saya nak pastikan bahawa Bella dan keluarganya gembira.

Menurut Syed Saddiq lagi, dia lebih mengutamakan penglibatan keluarga dalam urusan perkahwinan dan lebih selesa jika perkara tersebut diberi ruang sebaiknya untuk diselesaikan sesama keluarga.

“Bella adalah tunang saya dan untuk itu saya mahu pastikan semuanya berjalan lancar. Insya-Allah sebelum akhir tahun ini (kahwin).

“Kami pun ada komitmen kerja masing-masing, saya di Parlimen dan kawasan saya di Muar, manakala Bella pun ada urusannya.

“Tetapi di sebalik jadual yang sibuk, kami tetap meneruskan perancangan untuk majlis perkahwinan. Insya-Allah sebelum akhir tahun ini,” katanya ketika ditemui media pada majlis itu.

Mengulas tarikh keramat majlis bahagia itu, Syed Saddiq memilih untuk tidak terburu-buru mendedahkannya, namun berjanji akan berkongsi berita gembira itu apabila tiba masa yang sesuai.

“Majlis tunang dan nikah ini bukan untuk disembunyikan. Bila tiba masanya, jangan risau kami akan kongsi,” katanya kepada Lifestylemediahub.com

Berkongsi lanjut mengenai persiapan diri menjelang alam perkahwinan, Saddiq mengakui mereka kini dalam fasa menyesuaikan diri dengan komitmen masing-masing.

Saya rasa apabila kedua-duanya sibuk bekerja, kadangkala itu satu perkara yang baik kerana dengan komitmen masing-masing, kita masih mencari jalan tengah untuk mendedikasikan masa kepada keluarga.

Ini juga satu ujian supaya pada masa akan datang, seperti yang saya kongsikan, saya mahu menjadi bakal suami yang baik. Jika tunang saya memilih untuk terus berkerjaya sebagai penyanyi, pelakon atau duta jenama, yang pastinya jadualnya juga padat, keluarga tetap perlu dijaga.

Kita perlu berkongsi tanggungjawab, termasuk urusan rumah tangga dan juga membesarkan anak-anak kelak. Semua ini adalah perkara yang sedang kami pelajari sedikit demi sedikit sepanjang melalui proses menuju perkahwinan ini.

Untuk info, Saddiq dan Bella selamat mengikat tali pertunangan pada 28 Mac 2026 lalu. Hantaran Syed Saddiq mencuri tumpuan dan menjadi bualan tetamu yang hadir kerana berbeza berbanding dibuat oleh pasangan lain termasuk golongan selebriti.

Jika mereka sering mempamerkan barangan mewah berjenama, Syed Saddiq memilih pendekatan yang lebih bermakna dan berwawasan.

Selain sebentuk cincin sebagai simbol ikatan, beliau menyerahkan lima dulang hantaran yang antara lain mengandungi pembukaan akaun Tabung Haji buat Bella serta dua akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) khusus buat dua cahaya mata Bella iaitu Mohamad Ayden Adrean, 9, dan Ara Adreanna, 6.

Pemberian ini dilihat sebagai satu mesej jelas mengenai kesungguhan Syed Saddiq untuk memikul tanggungjawab bukan sahaja sebagai pasangan, malah sebagai pelindung masa depan keluarga kecil Bella.

Leave a Reply

Trending

Discover more from Lifestyle Media Hub

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading