Baru-baru ini, isteri usahawan terkenal, Datin Seri Nur Shahida berkongsi mengenai keadaan Qadejah El Zahra atau Cess yang dirawat di hospital selepas mengadu sesak nafas dan dada ketat mengundang rasa khuatir di kalangan para peminat keluarga usahawan tersebut.

Meskipun sudah beberapa hari dibenarkan pulang, menurut Cess dia masih menunggu keputusan doktor berhubung masalah kesihatannya itu.
Cess, 16, memberitahu dia dirawat selama lima hari di sebuah hospital swasta.
“Saya baru keluar dari hospital kira-kira tiga hari lalu dan sedang menunggu keputusan ujian. Saya dibawa ke hospital selepas dada terasa ketat dan tidak boleh bernafas.
Tunggu Keputusan Ujian Darah
Meskipun baharu beberapa hari dibenarkan pulang ke rumah, Cess tidak berehat lama apabila ditemui di malis Anugerah Inspirasi PTTI 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Sambil menjawab soalan para wakil media, Cess turut berkongsi keadaan terkini dirinya.

“Doktor ambil sampel darah dan terkejut mendapati paras platelet darah saya sangat rendah, iaitu 17, sedangkan bacaan normal sekitar 106. Mereka ulang ujian dua kali dan hasilnya sama,” katanya

Bagaimanapun, Cess lega keputusan awal ujian mendapati sel darah putih berada pada tahap normal.
Kerisauan Seorang Ibu
Cess turut berkongsi keadaan ibunya, Datin Seri Nur Shahida yang ternyata amat risau dengan keadaan kesihatan Cess.
“Mama risau apabila doktor sebut beberapa kemungkinan seperti leukemia, penyakit autoimmune atau jangkitan biasa.
“Doktor beritahu sel darah putih saya okay, jadi, bukan leukemia. Alhamdulillah mama lega.
“Mama sangat risau. Sampai cakap, kalau jadi apa-apa, dia sanggup dermakan sum sum tulang untuk saya. Tetapi, saya cuba tenangkan mama, saya cakap semua penyakit ada ubat,” katanya penuh nada positif.
Gementar…Tapi…
Meskipun Cess tidak menafikan rasa gementar menunggu keputusan ujian, namun, mahu kekal positif.
“Sekarang doktor sedang buat pemeriksaan darah secara terperinci yang biasanya mengambil masa sehingga seminggu. Saya tidak boleh mulakan rawatan selagi dia tak tahu puncanya,” katanya.
Pernah mengalami bengkak pada leher, Cess mula mengehadkan aktiviti bagi mengelak penat yang keterlaluan.

“Saya membesar dalam persekitaran di mana kita kena selalu kuat dan positif. Apabila membesar bersama individu yang kuat dan berdikari secara tidak langsung, kita juga akan menjadi seperti mereka,” katanya.
Sebelum ini, ibu Cess, Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid berkongsi dalam media sosial bahawa anaknya itu dikejarkan ke sebuah pusat perubatan selepas mengadu sakit dada dan sukar bernafas.





Leave a Reply