‘Homecoming’ Utara bakal menyatukan Ahli-Ahli Majlis dalam sambutan penuh legasi, dibawakan oleh Hitman Solutions dan Rockqueen.

Selepas kejayaan konsert di Kuala Lumpur baru-baru ini, semalam telah berlangsung sidang media mengumumkan konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming Edisi 60 Permata Biru yang bakal berlangsung pada 25 Julai 2026 ini di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan.

Pengumuman ini menandakan kesinambungan kepada kejayaan luar biasa edisi terdahulu di Stadium Nasional Bukit Jalil yang telah berjaya menghimpunkan lebih 55,000 penonton, sekali gus membuktikan pengaruh berterusan Ella dalam industri muzik tanah air.


Edisi Pulau Pinang ini membawa dimensi yang lebih peribadi apabila ia bukan sekadar sebuah konsert berskala besar beliau, tetapi juga simbol kepulangan Ella ke negeri kelahirannya. Bertepatan dengan sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-60 pada bulan Julai, konsert ini dijangka menjadi sebuah detik penuh emosi yang menghubungkan perjalanan seni beliau selama hampir empat dekad dengan tempat asalnya di Utara tanah air. 

Momen “homecoming” ini bukan sahaja signifikan buat Ella sendiri, ibarat sirih pulang ke gagang ia juga amat dinanti-nantikan oleh para peminat dan penggemar setianya di wilayah tersebut yang telah lama menyokong perjalanan karier beliau. Dalam masa yang sama, konsert ini turut mencatat sejarah tersendiri apabila Ella bakal menjadi artis pertama yang menganjurkan konsert solo di stadium berkenaan,  yang turut dikenali sebagai “Stadium Batu Kawan”.

Lebih daripada sekadar persembahan dan hiburan, Majlis Tertinggi Rockqueen Ella terus berkembang menjadi sebagai sebuah platform yang membawa mesej yang lebih besar buat masyarakat. Melalui kempen Peace. Love. Rindu., konsert ini mengajak para peminat untuk turut sama menjadi sebahagian daripada usaha memberi kembali kepada komuniti.

Setiap pemegang tiket akan diberi peluang untuk mengundi badan kebajikan pilihan mereka, iaitu Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Pulau Pinang bagi kategori Peace, Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bagi tema Love, dan Yayasan Kebajikan Artis Tanahair bagi Rindu. Sebanyak RM2 daripada setiap tiket yang terjual akan disalurkan kepada kebajikan yang dipilih.

Pendekatan ini mencerminkan komitmen berterusan penganjur dan artis untuk menggabungkan elemen hiburan dengan tanggungjawab sosial, sekaligus mewujudkan pengalaman yang lebih bermakna buat semua yang terlibat.


Selaras dengan aspirasi inklusif konsert ini, harga tiket ditawarkan serendah RM39, satu langkah yang mencerminkan komitmen penganjur untuk memastikan pengalaman ini dapat dinikmati oleh pelbagai lapisan peminat.

Inisiatif ini turut diperkukuh dengan peluang akses awal kepada pemegang tiket Aras 3 terdahulu di Majlis Tertinggi Rockqueen Kuala Lumpur. Sebagai ahli terhormat, mereka akan diberikan keutamaan untuk mendapatkan tiket lebih awal bermula pada 8 Mei 2026, selain menikmati diskaun istimewa bagi kategori tertentu. Jualan tiket umum pula akan dibuka secara rasmi pada 11 Mei 2026 menerusi website http://www.hitmanlive.com.


Dalam pada itu, Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin turut menyifatkan konsert ini sebagai refleksi kepada perjalanan seninya yang panjang serta platform untuk terus berkongsi nilai yang dipegangnya.

Beliau menyatakan bahawa sambutan ulang tahun ke-60 serta hampir empat dekad dalam industri muzik memberikan makna yang mendalam terhadap penganjuran konsert ini, yang dilihat sebagai medium untuk terus menyuarakan mesej Peace.Love.Rindu. 

Kepulangan ke Pulau Pinang juga disifatkan sebagai satu momen yang sangat dekat di hati, kerana ia bukan sahaja membawa beliau kembali ke tempat asal, tetapi juga mendekatkan dirinya dengan peminat setia yang telah menyokong perjalanan karier seninya sejak awal.

Leave a Reply

Trending

Discover more from Lifestyle Media Hub

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading