Bila menyebut tentang ibu, sememangnya kasih sayang yang dicurahkan tiada sempadan. Doa dan pengorbanan demi kebahagiaan permata hati menjadi keutamaan dalam kehidupan seorang ibu.

Menjengah laman Instagram milik pengurus kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, iaitu Rozi Abdul Razak, nukilan syahdu sempena sambutan Hari Ibu itu melekat di kalbu.

Rozi atau lebih mesra disapa Kak Zie di kalangan pengamal media meluahkan coretan yang lahir ikhlas dari sudut hatinya menerusi laman Instagram @rozisangdewi. Nukilan menyentuh emosi membuktikan betapa indahnya perjalanan seorang wanita bergelar ibu.

Bagi Kak Zie, setiap hari yang dilalui merupakan satu catatan perjalanan yang sangat berharga dalam mendidik anak-anak.

“Setiap hari adalah catatan perjalanan seorang ibu. Bermula seawal pagi membancuh kasih dalam setiap hidangan, memastikan tiada perut yang lapar sebelum melangkah keluar rumah,” luahnya dalam coretan tersebut.

Usia 26 Tahun Sudah Pegang Status Ibu

Fasa kehidupan wanita hebat ini berubah sepenuhnya apabila memegang amanah sebagai seorang ibu sewaktu usianya mencecah 26 tahun.

“ALLAH takdirkan pada usia 26 tahun, saya mula bergelar ibu dan kini dua putera dan seorang puteri tumbuh dalam detik rakaman yang tidak pernah padam,” kongsi Kak Zie penuh kesyukuran.

Masa pastinya terus berganjak dan usia pula seiring bergerak.

Meniti usia matang, Kak Zie menyifatkan setiap garis perubahan yang mula kelihatan di wajahnya bukanlah sekadar tanda penuaan semata-mata, melainkan sebuah kamus pengorbanan seorang wanita.

“Waktu pasti berganjak, usia juga seiringnya bergerak, setiap perubahan di wajah bukanlah tanda usia semata, melainkan peta perjalanan cinta yang ditulis dengan pengorbanan yang tidak pernah mahu ditagih balasannya,” coretnya lagi penuh rasa syukur dan gembira bergelar ibu.

Momen indah sambutan Hari Ibu itu menjadi lebih bermakna apabila wanita itu berkongsi sekeping foto gembira selepas menikmati makan tengah hari yang dibelanja oleh anak teruna sulungnya, yang kini sudah pun menginjak ke usia 26 tahun.

Perkongsian yang penuh kehangatan keluarga itu terus dihujani pelbagai reaksi positif daripada warga maya yang rata-ratanya kagum melihat keakraban mereka.

Malah, ramai yang memuji penampilannya yang kekal anggun, segak, dan kelihatan sangat muda sehingga ada yang tidak menyangka beliau sudah memiliki anak-anak yang telah dewasa.

Tegas & Dedikasi

Di sebalik ketegasan dan dedikasinya dalam dunia pengurusan kerjaya seni, dia tetap meluahkan rasa rendah diri dan bersyukur dikurniakan keluarga kecil yang sentiasa saling menyayangi.

“Semoga ALLAH pelihara keluarga kecil saya ini dan sentiasa di dalam lindungan-Nya selalu,” katanya menutup bicara.

Dapatkan informasi hiburan dan gaya hidup di http://www.lifestylemediahub.com

Leave a Reply

Trending

Discover more from Lifestyle Media Hub

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading