Selepas menyahut panggilan agung sebagai tetamu Allah di Tanah Suci, pelakon Datin Hajjah Lisa Surihani mengakui dirinya masih dalam proses menyesuaikan hati dan jiwa untuk membawa pulang roh ibadah haji ke dalam kehidupan seharian.

Kini bergelar hajah, Lisa tidak melihat haji sebagai satu pencapaian yang berakhir sebaik sahaja pulang ke tanah air. Sebaliknya, beliau menganggapnya sebagai titik permulaan untuk menjadi insan yang lebih baik di sisi Allah SWT.

“Kalau bercakap tentang perubahan selepas haji, tentunya saya mengharapkan sesuatu yang lebih baik. Namun mungkin ini baru permulaan. Apa yang saya harapkan ialah dapat mengimarahkan segala manasik haji dalam kehidupan harian,” katanya penuh rendah diri.

“Setiap Ibadah, Ada Pengajaran”-Lisa Surihani

Menurut Lisa, setiap ibadah yang dilalui di Tanah Suci mempunyai pengajaran yang boleh diterjemahkan dalam kehidupan seorang wanita, isteri dan ibu.

Juga Baca: https://lifestylemediahub.com/2026/06/14/saya-doakan-semula-agar-kembali-dalam-bentuk-kebaikan-berganda-ganda-datin-lisa-surihani/

Kesabaran ketika tawaf, ketabahan saat sa’i, pengharapan ketika wukuf di Arafah serta keikhlasan sewaktu melontar jamrah adalah madrasah kehidupan yang tidak ternilai.

“Dalam kehidupan harian sebenarnya kita boleh membawa pulang segala yang dipelajari sepanjang melakukan tawaf, sa’i, wukuf di Arafah dan melontar di Mina,” ujarnya.

Kisah Doa Penuh Keyakinan

Bagi ramai wanita yang menyimpan impian untuk menunaikan haji, kisah Lisa menjadi bukti bahawa setiap doa yang dipanjatkan dengan penuh keyakinan pasti didengari Allah pada waktu yang terbaik.

Lisa mendedahkan impian untuk menunaikan rukun Islam kelima itu telah dipendam sejak tahun 2022 lagi.

Juga Baca:https://lifestylemediahub.com/2026/06/15/saya-dapat-keluarga-di-sana-makkah-allah-swt-penyejuk-hati-datin-lisa-surihani-luauh-rindu-kepada-sisters/

Lebih menyentuh hati, Lisa pernah berdoa agar dapat menunaikan haji pada usia 40 tahun bersama suami tercinta, Datuk Yusry Abdul Halim. Namun perancangan Allah ternyata lebih indah dan penuh hikmah apabila beliau akhirnya berangkat seorang diri selepas rayuan visa haji suaminya tidak diluluskan.

“Bersyukur kerana ini semua berlaku dengan izin Allah SWT. Saya memang berdoa bersungguh-sungguh untuk menunaikan haji pada usia 40 tahun bersama suami. Tetapi Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat saya,” katanya.

Walaupun berdepan situasi yang tidak pernah dibayangkan, Lisa memilih untuk memandang setiap ketentuan dengan hati yang reda. Baginya, seorang wanita perlu sentiasa bersangka baik terhadap perancangan Allah meskipun ia tidak selari dengan apa yang diimpikan.

“Walaupun keadaan itu mungkin kurang menyenangkan, kita perlu sentiasa bersangka baik. Mungkin ada hikmahnya abang tidak dapat pergi, mungkin untuk menjaga anak-anak atau sebab lain yang hanya Allah lebih tahu,” katanya.

Sikap reda dan tawakal yang ditunjukkan Lisa menjadi inspirasi buat wanita yang sedang menanti giliran ke Tanah Suci. Sesungguhnya perjalanan haji bukan sekadar perjalanan fizikal, tetapi juga perjalanan hati yang mengajar seseorang tentang keikhlasan, kesabaran dan penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah SWT.

Bagi Lisa, gelaran hajah bukanlah ukuran kesempurnaan, sebaliknya satu amanah besar untuk terus memperbaiki diri.

Dan seperti jutaan wanita lain yang pernah menjejakkan kaki ke bumi Mekah, beliau percaya bahawa haji yang mabrur bukan dinilai pada perubahan yang berlaku dalam sehari, tetapi pada usaha berterusan untuk menjadi insan yang lebih dekat dengan Allah sepanjang hayat.

Dapatkan informasi hiburan dan gaya hidup di http://www.lifestylemediahub.com

Leave a Reply

Trending

Discover more from Lifestyle Media Hub

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading