TIADA yang mampu menggambarkan perasaan seorang ibu saat “terpaksa” melepaskan anak tersayang melangkah ke fasa baharu kehidupan demi mengejar cita-cita.

Detik penuh emosi itu turut dirasai penyanyi kumpulan Elite, Linda Rafar, yang tidak dapat menahan air mata apabila menghantar anak lelakinya, Syed Rezaqiib Syed Kamaruzaman Al-Yahya, mendaftar sebagai penuntut di Universiti Malaya.

Menerusi perkongsian di Instagram, Linda meluahkan isi hati yang cukup menyentuh perasaan. Katanya, rasa sebak mula menyelubungi dirinya beberapa hari sebelum hari pendaftaran lagi kerana sukar membayangkan kehidupan tanpa anak di sisi.

“Bismillahi masya-ALLAH. Mama sejak malam tadi, tak boleh berhenti menangis. Rasa macam baru semalam hantar tadika dan Tahun Satu. Tunggu Aqiib di sekolah hari-hari dan sampai dekat setahun setia tunggu masa waktu rehat,” tulisnya sambil mengimbau kenangan membesarkan anak kesayangannya.

Perpisahan Yang Sukar
Menurut pemilik nama Azlinda Abdul Rafar, perpisahan itu bukan sesuatu yang mudah kerana sepanjang 18 tahun membesarkan Aqiib, mereka hampir tidak pernah berjauhan.

“Mama tak pernah berpisah selama 18 tahun dan hari ini Aqiib sudah masuk universiti serta memulakan fasa kehidupan baharu tanpa mama.
“Ramai sahaja parents yang cakap, ‘Alaaa nanti cuti baliklah.’ Tapi yang jaga anak sendiri ini lain ya. Rasa ini tidak boleh digambarkan. Bangun pagi tengok bilik kosong pun mama sudah sebak seorang-seorang,” luahnya.
Mengakhiri perkongsian itu, Linda menitipkan doa dan pesanan paling bermakna buat anaknya agar sentiasa mengingati pengorbanan ibu serta tidak sesekali melupakan Allah SWT ketika menempuh kehidupan sebagai mahasiswa.

“Semoga Aqiib sentiasa ingat pengorbanan mama membesarkan Aqiib. Jangan lupa ALLAH SWT, itu paling penting dan mama always pray for you for the best in yourself life,” titipnya.
Untuk rekod, sebelum melangkah ke menara gading, Syed Rezaqiib pernah mencuri perhatian ramai apabila memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Tahniah Syed Rezaqiib . Semoga menjadi pelajar yang cemerlang di universiti pula!
Dapatkan informasi gaya hidup dan hiburan di http://www.lifestylemediahub.com





Leave a Reply