Pelajar tingkatan empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, ditemui dalam keadaan cedera parah pada muka dan badan dipercayai akibat dihentak menggunakan objek keras sebelum disahkan meninggal dunia di sebuah sekolah di Yong Peng, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri serta berlumuran darah di sebuah dewan sekolah kira-kira pukul 5.30 petang.

Jelasnya, susulan kejadian itu, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan kira-kira pukul 7 malam semalam di sekitar Pekan Yong Peng selepas pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung kejadian tersebut.
“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit, sebuah beg, sepasang pakaian dan sepasang selipar bagi membantu siasatan.
“Pemeriksaan mendapati mangsa mengalami beberapa kecederaan parah pada bahagian muka dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ab Rahaman berkata, mangsa dipercayai mengalami kecederaan akibat dihentak menggunakan objek keras, namun perkara itu masih dalam siasatan polis dan menunggu pengesahan lanjut hasil bedah siasat.
Tambah beliau, proses bedah siasat terhadap mayat mangsa dijalankan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat hari ini, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan motif kejadian masih dalam siasatan polis.
Sementara itu, tiga pelajar lelaki tingkatan empat ditahan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes seorang pelajar perempuan tingkatan empat yang ditemui maut dipercayai dibunuh di sebuah sekolah di Yong Peng, di sini, semalam.

Ketiga-tiga pelajar berusia 16 tahun itu ditahan beberapa jam susulan penemuan mayat mangsa, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, kira-kira pukul 5.30 petang, semalam.
Difahamkan, seorang daripada pelajar terbabit akan dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat untuk mendapatkan perintah reman, pagi ini, bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan.
Mereka adalah pelajar sekolah sama dengan mangsa yang disyaki dibunuh dengan kejam sebelum ditinggalkan di dalam dewan sekolahnya.
Irene Sofiya ditemui lemah oleh neneknya, Jameyah Rabani, 66, di dalam sebuah dewan sekolah di Yong Peng dalam keadaan berlumuran dan serta kesan cedera pada bahagian muka.
Menurut Jameyah, dia pada mulanya tidak menyangka dua rakan cucunya yang datang ke rumah kira-kira pukul 5.30 petang itu membawa berita buruk mengenai Fiya yang masih belum ditemui.
Katanya, kedua-dua rakan Fiya berasa hairan apabila motosikal milik remaja itu masih berada di sekolah, namun kelibatnya tidak kelihatan
Sumber: https://www.kosmo.com.my/
Dapatkan informasi hiburan dan gaya hidup di http://www.lifestylemediahub.com





Leave a Reply