Lelaki warga emas memandu van yang melanggar mati murid perempuan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon di Parit Sulong, dekat sini pada Selasa lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini.

Pemandu van tersebut, Nordin Ithnin, 61, didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) di hadapan Majistret Arun Noval Dass, memandu van secara melulu hingga menyebabkan kematian murid Tahun Dua, Nur Aini Umairah Mohd Fareez, 8, di hadapan SK Seri Maimon, jam 12.30 tengah hari 5 Mei lalu.

Tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) manakala pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Firdaus Ruslan.
Seksyen 41 (1) memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda tidak melebihi RM50,000 jika sabit kesalahan.
Mengaku Tidak Bersalah
Bapa enam anak itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebelum pihak pendakwaan memohon jaminan RM10,000. Mahkamah menetapkan 25 Jun untuk sebutan semula bagi serahan dokumen dan lantikan peguam tertuduh serta membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000.
Lesen Memandu Digantung
Arun turut memerintahkan Nordin melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan lesen memandu digantung berkuat kuasa hari ini mengikut Seksyen 41 (5) akta sama.

Berdasarkan laporan, hasil siasatan polis mendapati kejadian berlaku ketika van dipandu tertuduh bergerak untuk keluar dari kawasan sekolah selepas menghantar barang, namun merempuh mangsa yang sedang berjalan di hadapan pintu pagar sekolah.
Akibat pelanggaran itu, mangsa cedera parah di kepala dan organ dalaman sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Parit Sulong.
Sumber:https://www.kosmo.com.my/ & http://www.harianmetro.com.my





Leave a Reply